Hubungan Qair dan Emmeline perlahan-lahan terseret dalam kebencian. Atas sebab Emmeline tak mampu menghadirkan zuriat.
"Lima tahun kita berkahwin, dan kau masih tak tahu macam mana untuk jadi seorang isteri, apatah lagi seorang ibu. Tuhan pun tak berikan kita anak sebab DIA tahu kau tak layak." —QAIR
Setiap kali mata Qair menatap wajah lembut Emmeline, hatinya mengeras. Bibirnya melontarkan kata-kata nista yang membelah jiwa Emmeline.
"Aku benci tengok muka kau, Emmeline. Kau ingat aku peduli sangat ke dekat kau? Jangan harap aku nak kisah tentang sakit kau. Kau dah cukup buang masa aku, cukup buat aku menyampah. Asyik sakit perut memanjang..." — QAIR
"Saya tak minta awak seksa saya, Qair. Saya cuma minta awak... sayang saya. Saya minta awak... ingat saya masih isteri awak yang sah. Ini aje yang saya nak." — EMMELINE
Tangan yang sepatutnya melindungi, kini melukai. Tatkala tubuh Emmeline rebah di hadapan Qair, diagnosis penyakit menjadi hukuman terakhir buat Qair. Sangkaan bahawa itu hanya kesakitan biasa berubah menjadi mimpi buruk apabila doktor mengesahkan penyakit isterinya.
"Aku setuju buat pembedahan tu bukan sebab aku nak hidup. Aku dah cakap dekat kau! Tapi sebab aku dah tak kisah lagi. Kalau aku mati atas meja bedah tu, itu lebih baik. Setidaknya aku bebas daripada rasa sakit ni... dan bebas dari kau!" — EMMELINE
Qair berusaha memperbaiki segalanya, berjanji untuk menjaga Emmeline walaupun tahu kemaafan itu seperti bintang di langit yang tak terjangkau.
"Abang tengah cuba berbaik dengan Emmeline. Abang cuba untuk tebus apa yang abang dah buat. Tapi Emmeline tak beri abang peluang langsung." — QAIR "Kau fikir ada peluang kedua untuk lelaki macam kau, Qair?" — EMMELINE
"Abang tak minta Emmeline untuk memaafkan abang dengan serta-merta. Abang harap Emmeline sudi beri abang peluang. Peluang untuk buktikan yang abang boleh jadi suami yang lebih baik, suami yang Emmeline perlukan." — QAIR
Penyesalan membungkus Qair, tapi adakah penyesalan mampu menebus dosa yang sudah lama berakar? Akankah takdir yang kejam terus menutup pintu kemaafan seorang Emmeline?