Kehidupan Wafiy berubah selepas ditakdirkan bertemu Sofia, adik kepada kekasih hatinya, Kejora. Lagi bertambah tertekan jadinya bila Wafiy perlu menikahi

‘perempuan cacat’ itu demi menjaga nama baik yang telah tercemar. Terutama nama baik Kejora yang mempunyai pertubuhan amal untuk Orang Kelainan Upaya (OKU).

“Sofia teringin nak tengok langit waktu malam. Sofia nak tengok bintang...Dah lama Sofia tak tengok langit.” — SOFIA

“Kau nak tengok langit, kan? Tak ada apa yang indah dengan langit tu. Gelap macam ni juga. Malam ni kau tidur sini. Kau hadap langit dalam bilik air ni. Tak ada beza pun dengan langit dekat luar.” — WAFIY

Ditakdirkan hidup bersama lelaki ini, Sofia rasa tiada apa yang indah dalam dunianya. Setiap suami punya isteri yang menjadi sokongan. Perkahwinan ini umpama utuhnya sebuah pesawat. Punya dua sayap sokongan yang mampu membuatkan pesawat itu terbang.

“Kalau Wafiy tak ada, takkan ada lelaki yang sanggup beristerikan perempuan cacat seperti kau.” — KEJORA

“Kau tak perlu pura-pura depan aku. Kau takut tak ada siapa yang nak jaga kau dah lepas aku mati nanti, kan? Kau ingat aku tak tahu ke? Sebab tulah kau risau, kan?” — WAFIY

Seperti tirakat di bibir Wafiy, Sofia tidak mampu menjadi sayap sokongan. Paruh pun tiada untuk dijadikan tongkat sokongan. Dia tidak punya apa untuk diberikan kepada lelaki ini. Dia tidak mampu berdiri. Apatah lagi berjalan. Tidak mampu berbuat apa-apa. Seperti kata Wafiy, dia cuma perempuan cacat. Sehinggalah dia memilih untuk pergi merawat hati yang terluka.

“Dekat syurga nanti abang nak hidup dengan Sofia, sebab dalam dunia ni cuma Sofia yang abang sayang. Dalam syurga nanti, mesti Sofia boleh berlari datang dekat abang, kan?” — WAFIY

Dan Wafiy tahu dia masih belum terlambat untuk meletakkan Sofia sebagai yang pertama dalam hidupnya selepas Tuhan. Sofia pergi ketika ikatan kasih dalam hati lelakinya semakin utuh. “TU me manque.” — WAFIY

Rindu. Tanpa Sofia, dia seperti tanaman yang kering diracun dan tandus. Sofia seperti air yang menghidupkan, menyejukkan jiwa seorang suami yang sebelum ini tidak ingin dicintai oleh perempuan seperti Sofia Amella. Akankah kebahagiaan yang Sofia idamkan daripada seorang Wafiy ini menjadi nyata?

×
WhatsApp