SINOPSIS SYURGA FIRDAUS UNTUK NADHIRAH
Semua yang telah ditakdirkan dan dikehendaki Allah pasti terjadi.
“Kahwin dengan aku! Aku nak tukar dosa menjadi pahala. Sekarang ni apa sahaja yang kita buat bukannya dapat pahala, menambah dosa adalah. Kau bukan mahram aku Dhirah. Kau tahu tak, zina mata boleh berlaku apabila kita saling berpandangan. Malah zina hati pun boleh berlaku apabila kita saling ingat-mengingati,” ~Firdaus~
Agaknya kalau tidak kerana peristiwa dia kena kacau oleh Azizul bekas tunangnya, tentu tidak keluar semua isi hati Firdaus hari ini. Seram pulak dia rasa bila dengar Firdaus cakap pasal zina tu. Siang malam Firdaus selalu ingatkan dia? Dia ada ingatkan Firdaus ke?
Tak tahan asyik diganggu oleh bekas tunang yang macam orang gila talak, akhirnya Nadhirah terima lamaran Firdaus. Baru beberapa bulan mengecap bahagia, dugaan datang bertimpa-timpa. Keguguran, kematian Tok Mak tanpa Firdaus di sisi serta fitnah yang Azizul reka buat Fatin Nadhirah makan hati. Kecewa kerana Firdaus lebih percayakan cerita dusta Azizul daripada percayakan isterinya sendiri.
Walaupun sudah terbentang kebenaran di hadapan mata, kemaafan yang Firdaus pinta tidak membekas dalam hati Nadhirah. Rayuan Firdaus dipandang sebelah mata. Firdaus dia tinggalkan untuk mengubat hati yang terluka. Konon hendak beri pengajaran kepada suaminya, sudahnya diri sendiri yang merana.
Kata Hasya sahabat baiknya, “Kenapa kau nak hancurkan diri kau sendiri sedangkan hubungan kau dengan Firdaus boleh dibaiki.” Buntu dia jadinya.
Nadhirah… Hidup kita, kitalah yang melayarinya. Menjadi indah, manis atau sebaliknya. Ikut saja alurnya. Takdir Allah itu selalu baik. Walau terkadang memerlukan air mata untuk menerimanya.
Hanya DIA sahaja yang tahu setiap takdir yang sudah ditentukan. Kepada Allah dia berserah.