Pertemuan Fatteh Ukail dan Kissmi Malaika terjadi kerana aturan Tan Sri Yusuf yang mahukan anak perempuannya menetap di kampung. Demi satu tugas, Kissmi terpaksa masuk ke kampung walau hati langsung tak menginginkan hal itu. Ditakdirkan untuk hidup di bawah satu bumbung bersama Fatteh, Kissmi tak betah menahan rasa. Setiap patah tutur kata lelaki itu umpama belati yang menikam tepat ke jantung. Tajam menghiris!
“Mahkota kau yang satu tu aku boleh pijak-pijak. Waktu tu baru kau tahu tinggi rendah langit tu. Kau ingat jadi anak orang kaya ni, aku akan layan kau macam tuan puteri? Kau silap, Kissmi.” — FATTEH UKAIL
“Aku sedar, aku ni anak orang kampung aje. Bukan siapa-siapa nak ajar anak orang bangsawan macam kau. Bila dah main kasta-kasta, susah betul hidup bila jadi orang miskin. Nak tegur orang kaya, kena cermin diri dulu.” — FATTEH UKAIL
Bagi Fatteh Ukail, Kissmi itu tak ubah seperti anak kecil yang manja. Semua perkara perlu diuruskan umpama seorang anak raja. Maklum yang Kissmi itu anak orang berada, tanpa sedar berkali-kali dia menyakiti Kissmi, hingga akhirnya dia terpaksa memamah kata-katanya sendiri apabila dia hampir saja kehilangan wanita itu. Dek permintaan Tan Sri Yusuf, mereka akhirnya disatukan tanpa sebarang bantahan daripada Fatteh mahupun Kissmi. “Muka saya ni memang nampak macam perempuan murahan dekat mata awak. Pelacur. Isteri awak ni, awak pandang macam ‘pelacur’ kan? Malam pertama kita pun awak tanya soalan macam tu. Macam mana saya nak hidup dengan awak, Fatteh? Beritahu saya, Fatteh. Macam mana saya nak hidup dengan lelaki yang anggap saya tak suci?” — KISSMI MALAIKA
Kerana seorang Fatteh, ego Kissmi tertunduk. Dia tidak pasti akan hati sang suami yang sukar ditelah. Terkadang kelembutan Fatteh bagaikan sehelai sutera yang dihamparkan pada tapak tangan. Suara lelaki itu juga mampu memberikan Kissmi ketenangan walau dengan hanya sepatah bicara.
Namun, adakalanya Fatteh bersikap dingin. Bagi Kissmi, Fatteh tak pernah menyimpan walau secebis rasa sayang untuknya. Menghitung cinta seorang Fatteh, Kissmi merasakan yang cinta Fatteh bukanlah untuknya. Dia tahu Fatteh menginginkan wanita 'beragama' dan jelas sekali ciri
itu tiada padanya.
“Abang yang rasa tak setaraf dengan Kissmi. Abang ni budak kampung... Abang rasa bukan abang yang sepatutnya ada di sisi Kissmi. Abang pengecut. Abang tak berani nak beritahu yang abang terlalu cintakan Kissmi sebab abang takut Kissmi pergi dari sisi abang. Sebab abang tahu abang tak hebat.” — FATTEH UKAIL
Pengakuan daripada Fatteh itu buat hati Kissmi bergetar hebat. Di akhirnya, akankah bahagia itu mereka kecapi? Mampukah seorang Kissmi Malaika yang manja ini hidup dengan seorang lelaki kampung seperti Fatteh Ukail...atau Kissmi seharusnya undur diri daripada terus menghitung mahligai bersama Fatteh?