"SEJAK bila keluarga Dato Tengku Rayden bin Tengku

Hazader ni jadi keluarga aku? Tak pernah sekali darah aku ni bercampur dengan darah bangsawan macam kau. Kau pun, Tengku Amora... Nama aku pun tak ada Tengku. Datang dari mana 'keluarga' tu? Nonsense!" — HAQ

Haq diangkat menjadi seorang anak oleh keluarga Dato Rayden setelah kematian ayahnya. Haq tak pernah lupa punca kepada kematian itu adalah kerana arwah ayahnya menyelamatkan anak perempuan tunggal Dato Rayden, Amora. Dek terhutang budi, Haq diambil untuk hidup bersama keluarga yang telah menyebabkan arwah ayahnya terkorban!

"Ayah rayu dengan kamu. Maafkan ayah. Mintalah apa aje yang kamu nak supaya hati kamu tenang. Ayah akan cuba usaha beri apa aje yang kamu mahu. Ayah tak nak hubungan kita sebagai keluarga terputus." — DATO RAYDEN

"Dato hutang satu nyawa dengan saya. Dato dah buat saya hilang ayah, jadi Dato perlu serahkan anak Dato kepada saya." — HAQ

Kerana kebencian yang meluap-luap, Haq membuat permintaan untuk menikahi Amora. Cadangnya, itu adalah satu cara untuk dia membiarkan wanita itu bernaung di bawah rasa dendamnya. Kerana Amora, dia terpaksa kehilangan seluruh hidupnya! Tak pernah sekali dia menganggap keluarga Dato Rayden itu sebagai keluarganya.

"Abang tak sepatutnya hukum Amora macam ni. Kita buat benda baik dengan menikah abang. Perkahwinan ni satu ibadah. Abang tak boleh jadikan perkahwinan ni satu permainan dendam abang tu. Amora tak salah, abang."

— AMORA

"Kau tak salah. Tapi, itu tak mengubah fakta yang ayah aku telah meninggal dunia kerana kau, Amora. Untuk itu, kau harus bayar semuanya." — HAQ

"Amora ikhlas kahwin dengan abang. Amora akan cuba pupuk rasa cinta untuk abang. Siapa tahu nanti dendam abang perlahan-lahan hilang sebab ketulusan Amora pada abang... Amora takkan biarkan hidup Amora ditentukan oleh dendam abang tu." — AMORA

Sampai bila Amora mesti bertahan dengan pernikahan ini? Namun kejadian kebakaran itu terulang kembali, menjadikan Haq sedar bahawa cintanya tumbuh buat Amora apabila dia hampir saja kehilangan wanita itu.

"Aku boleh masak apa saja asalkan kau kenyang dan perut kau terisi. Aku tak nak kau lapar. Aku tak nak kau sakit." — HAQ

Akankah Amora menerima dirinya seadanya? Dia bukan lelaki terbaik. Hanya seorang lelaki yang menyimpan luka penuh tragedi. Bermacam khilaf tak mampu dia kirai, tetapi untuk kali ini dia sudah jatuh cinta. Jatuh cinta pada isterinya sendiri.

"Kau mesti tak percaya, kan? Lelaki yang selama ini bermati-matian membenci kau, akhirnya mengaku dah jatuh sayang pada kau." — HAQ

×
WhatsApp