Kahwin di usia yang muda awalnya tak menjadi masalah bagi Meftah dan Leyla. Jodoh dah datang awal, takkan nak tolak pula, kan? Tentangan keluarga tak menghalang mereka untuk bersatu. Fikir Leyla, selepas berkahwin, hidupnya akan muncul pelbagai pelangi, tetapi dia silap.

“Memang aku nak kahwin dengan kau. Aku bersedia nak kahwin, tapi aku tak bersedia untuk jadi ayah! Kau tak faham ke, hah?” — MEFTAH

Meftah yang dulunya tak bersikap seperti itu semakin hari semakin berubah. Leyla tak merasa seperti menikah dengan lelaki dewasa, sebaliknya dengan seorang anak kecil yang cuma tahu membentak.

“Kau memang sengaja nak cabar aku ke Leyla??” - MEFTAH

“Leyla yang cari kerja untuk keperluan kita. Leyla yang beli semua barang dalam rumah ni. Leyla yang masak. Leyla yang kemaskan rumah. Leyla buat semua benda sendiri! Leyla yang mengandung! Leyla yang berhempas pulas bekerja kat kedai runcit tu untuk bayar hutang-hutang abang dengan emak abang jugak. Siapa yang cabar siapa sekarang? Abang yang cabar Leyla. Bukan Leyla yang cabar abang!" — LEYLA

Apabila kesabaran Leyla sudah jatuh ke angka sifar, dia memilih untuk berjauhan buat sementara waktu dengan Meftah. Meftah pula sudah tidak senang duduk. Leyla yang selama ini ada di depan mata sudah tiada. Sasau!

“Abang tahu kat mana silap abang pada Leyla dan anak abang. Abang datang sini nak jumpa Leyla dengan anak abang.” — MEFTAH

“Haha. Mesti abang mengigau kan? Suami Leyla yang nama Meftah tu takkan cakap benda-benda macam ni. Dia lagi suka melepak daripada tengok muka bini dia. Maklumlah bini dia ni pun dia dah tak hingin. Anak dia pun dia tak suka.” — LEYLA

Kali ini, Meftah sedar bahawa perkahwinan itu menuntut sebuah pengorbanan, komitmen dan tanggungjawab. Bukan cuma cinta dan rasa sayang. Mampukah kemelut rumah tangga mereka diselesaikan dengan cara yang matang? Atau khilaf itu telah menebarkan kebencian dalam hati seorang Leyla buat Meftah?

×
WhatsApp